SHAH ALAM – Kita belanja terlalu banyak duit bagi mengelak satu kematian akibat Covid-19 tetapi bagaimana pula dengan kematian disebabkan kesihatan mental yang tidak dikawal?
Itu perkara yang dilontarkan oleh Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr. Hazli Zakaria berhubung situasi membimbangkan dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini.
Menurut Hazli, satu kematian akibat bunuh diri akan memberi kesan terhadap keluarga serta individu yang berada di persekitaran.
“Kalau lah ada satu kematian disebabkan bunuh diri, kesan kepada keluarga yang bunuh diri itu bagaimana? Mereka ini ada risiko untuk mendapat kemurungan, grieving selepas kehilangan orang tersayang, sudah pasti akan terkesan jadi bukan hanya libatkan seorang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Sementara itu, merujuk kepada situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak setahun lalu, Hazli menyarankan supaya kerajaan memperuntukkan sejumlah dana bagi memastikan perkara-perkara berkaitan kesihatan mental ini dapat dibantu dan dikurangkan.
Jelas Hazli lagi, perhatian juga perlu ditumpukan terhadap petugas barisan hadapan yang mungkin berdepan dengan tekanan di tempat kerja.
“Frontliners ketika pandemik ini, adakah mereka dibantu dari segi kesihatan mental? Adakah keluarga mereka juga dibantu dari segi kesihatan mental?
“Hari-hari mereka terpaksa menghadapi pasangan yang mungkin akan ada kemungkinan untuk dijangkiti wabak Covid-19 jadi dari segi mental dan fizikal itu mungkin timbul kerisauan,” ujarnya.
Tambah Hazli lagi, antara golongan lain yang perlu diberi perhatian mengenai tahap kesihatan mental adalah individu yang menghidap penyakit-penyakit kronik.
“Sebelum negara dilanda Covid-19, pesakit kronik ini merupakan tumpuan utama tetapi sekarang bagaimana? Mereka itu pun perlu dijaga dan dirawat kerana mereka juga terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, Hazli berkata, ekoran daripada ketidakpastian kerajaan dalam menjalankan sesuatu perancangan menjadikan rakyat semakin khuatir dengan hala tuju kehidupan mereka selepas pandemik Covid-19.
Dalam masa sama, beliau turut mendakwa bahawa rakyat dibiar terkapai-kapai tanpa sebarang panduan atau jaminan.
“Kita selalu cakap the same storm but different boat, itu betul jadi cari lah kapal yang betul-betul nak karam, bantu itu dulu.
“Perkara ini dapat diatasi kalau bekerjasama dengan tujuan yang sama dan jujur dalam usaha yang akan dilakukan untuk rakyat. Kalau boleh kita clear mengenai objektif dan diikuti dengan perancangan. Ini kerana kita bagus dari segi membentuk polisi tetapi pelaksanaannya adalah sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel ini dipapar di MalaysiaGazette pada 28 Jun 2021.
Author: Kamariah Kalidi
Artikel Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/06/28/terlalu-fokus-covid-19-lupa-kesihatan-mental-rakyat/